Tuesday, October 30, 2007

.

Tuesday, October 16, 2007

Tuesday, October 9, 2007

Logo ‘ Halal' & ‘ Islam' : Haruskah Guna Tanpa selidik ?

Salah satu persoalan yang kerap bermain di pemikiran umat Islam adalah apabila mereka ingin menggunakan produk-produk yang bertanda ‘halal' atau ‘Islam'. Ada di antara mereka yang tertanya-tanya samada menjadi kewajiban bagi mereka untuk membuat kajian sendiri sebelum menggunakannya atau mencukupi dengan ‘sangka baik' serta mempercayai tanda-tanda tersebut.

Hal ini berlaku dalam pelbagai bidang, samada dalam bidang pemakanan, barang kegunaan harian mahupun dalam bidang kewangan. Bagi bidang pemakanan dan penggunaan, kita dapat melihat dengan jelas peranan logo ‘halal' dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang begitu penting untuk dipastikan sebelum membeli sesuatu produk.

Manakala, bagi urusan kewangan, peranan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful (JPIT) di bawah Bank Negara Malaysia, Jabatan Pasaran Modal Islam di bawah Suruhnajaya Sekuriti serta Majlis Penasihat Shariah di pelbagai peringkat juga amat penting bagi memastikan logo ‘Islam' pada nama Bank dan produk kewangan adalah juga tulen sebagaimana logo JAKIM yang terdapat pada makanan.

Cabaran dalam memastikan kesemua logo ini tulen serta mempamerkan keislaman yang tulen sememangnya bukanlah satu kerja yang mudah. Terutama di dalam bab kewangan yang agak kompleks hingga menyebabkan kemungkinan terdapat perbezaaan pentafsiran memahami sesuatu konsep yang digunakan.

Cuma fokus saya dalam tulisan ini berkisar tentang tanggung jawab sebagai orang awam atau pengguna dalam hal memastikan kebenaran logo itu. Dengan kepelbagaian latar belakang, ilmu serta kemudahan. Terdapat yang bertanya, bolehkah saya berpegang terus dengan logo yang ada, tanpa sebarang usul periksa, dan jika ada sebarang khabar-kahabar angin, saya abaikan ?

Menurut pandangan Islam, bagi individu yang tidak mempunyai kemampuan samada ilmu, masa, sumber tepat dan berauthoriti untuk membuat kajian mendalam, maka hukum ke atas mereka adalah harus untuk menggunakan dan bersangka baik dengan ‘branding' 'Perbankan Islam' atau 'Bank Islam' atau "diluluskan Majlis Penasihat Shariah' dan apa jua terma yang jelas menunjukkan mereka di tadbir urus secara Islam. Allah SWT berfirman : "Tidak dipertanggung jawabkan seseorang dengan apa yang diluar kemampuannya" (Al-Baqarah : 233). Maka dalam hal ini, kewajiban seseorang adalah terhenti kepada usahanya untuk mencari sesuatu produk yang bertanda ‘halal' atau ‘Perbankan Islam' sahaja. Tugasan wajib seterusnya dipikul oleh ilmuan khas Shariah, pengurusan institusi itu sendiri dan pihak berkuasa untuk memastikan yang ‘halal' dan ‘Islam' itu bukan sekadar jenama kosong tanpa isi.

Adapun bagi sesiapa yang ingin dan mempunyai kredibiliti serta sumber berauthoriti untuk membuat pengkajian dengan lebih mendalam, ia boleh dianggap satu ‘bonus' untuk diri mereka. Dalam situasi dimana mereka mendapati sesuatu kelemahan (kemungkinan melalui pengalaman mereka ketika berurusan dengan institusi kewangan Islam ini), mereka perlulah mendekati pihak yang bertanggung jawab terlebih dahulu sebelum memukul canang di luar sehingga boleh menguris kepercayaan awam kepada institusi kewangan Islam secara umum dan juga produk-produk berlogo ‘halal' itu.

Ia merupakan suatu akhlak Islam dalam memastikan bahawa informasi yang diperolehi disalurkan kepada saluran yang betul. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 83 ertinya : " dan apabila datang kepada kamu berita baik atau keburukan, mereka (orang munafiq) kerap suka menyebarkannya terlebih dahulu, (lebih baik) sekiranya mereka merujuk kepada perkara itu kepada Rasul dan pemerintah (orang berwajib) nescaya mereka tahu bagaimana untuk bertindak...".

Selain itu, tindakan memukul rata semua perbankan Islam lemah apabila menjumpai satu kesilapan adalah kurang tepat kerana :-

  • a) Kesilapan itu adalah kesilapan individu pegawai yang bertugas itu sahaja. Jika demikian, kesilapan ini tidak harus dipertangungjawabkan kepada Majlis Penasihat Shariah sesebuah bank itu. Apatah lagi untuk meletakkan kesilapan itu kepada seluruh operasi bank-bank Islam di Malaysia dan dunia. Hal ini pernah dan sememangnya boleh berlaku. Menurut pengetahuan saya, terdapat seorang individu yang menjumpai beberapa kelemahan ketika ingin menggunakan produk pembiayaan perumahan, maka dihebohkan di satu negara dan kepada seluruh rakan-rakannya dengan dakwaan bahawa perbankan Islam di Malaysia sebagai ‘tidak berguna'. Padahal ia adalah kesilapan peribadi si pegawai yang bertugas hari itu. Wajarkah tindakan ini?.

  • b) Kesilapan itu adalah kesilapan pengurusan institusi kewangan itu sahaja. Ertinya, Majlis Penasihat Shariahnya telah memberikan nasihat yang benar dan betul tentang tatacara, syarat dan rukun. Akan tetapi akibat dari kelalaian atau didorong oleh perasaan ingin memudahkan proses teknikal, pihak pengurusan telah mengubah keputusan Majlis Shariahnya kepada keputusan yang diubahsuai. Keadaan ini boleh berlaku jika Jentera Pemantauan Shariah di dalam operasi sesebuah institusi kewangan itu tidak kukuh dan berdiri sendiri (independence).

  • c) Kesilapan itu adalah kesilapan pihak pengurusan dalam memberi gambaran proses kepada Majlis Penasihat Shariah. Hal ini juga mudah boleh berlaku terutama apabila pihak pengurusan tidak mampu menjangkakan tahap kefahaman ahli Majlis Penasihat Shariah mereka. Hasilnmya, mereka membentang dengan sangat ringkas, dan kelihatan mudah dan boleh diterima oleh Shariah. Akibatnya, walaupun ia diluluskan oleh Majlis Shariah tetapi tidak lebih hanya konsep sahaja dan bukannya cara aplikasi produk itu.

  • d) Kesilapan Majlis Penasihat dalam memahami penerangan pengurusan. Ini juga mungkin berlaku, tetapi jika ia berlaku, pihak individu tadi masih tidak boleh membuat tuduhan ‘tidak Islamik' nya secara purata Institusi Kewangan Islam. Ini kerana kesilapan yang sama kemungkinan besar tidak berlaku di Institusi kewangan Islam yang lain.

Justeru, kesalahan satu-satu institusi tidak boleh dihukumkan ke atas seluruhnya. Tidak dinafikan sememangnya kemungkinan kesilapan berlaku akibat kelemahan manusia yang mengurus, justeru ia perlulah dibawa kepada peringkat perbincangan dan laporan dengan lebih sistematik.

Jika dilihat dari aspek yang lain pula, terdapat kemungkinan besar juga bahawa penemuan 'findings' mereka adalah silap, terutamanya jika individu tadi tidak memahami sebaiknya undang-undang Shariah, Malaysia dan instrumen kewangan moden. Kerana itu, adalah dibimbangi bahawa 'heboh' tanpa fakta sohih boleh menyebabkan orang awam keliru dan kembali ke institusi konvensional yang pastinya HARAM.

Secara tidak langsung, termasuklah orang seperti ini dalam hadith sohih "
barangsiapa yang mengajak kepada keburukan dan or
ang mengerjakannya, lalu ia akan menanggung dosa di pelaku tadi tanpa kurang.." Ini kerana, kerana sikap gopohnya, ia menjauhkan awam dari kebaikan akhirat kepada keburukan dunia akhirat.

-Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman.

  • Felo Akademik (Pensyarah), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  • Panel Soal Jawab Agama, Majalah I, Terbitan Karangkraf Sdn Bhd
  • Kolumnis Ruangan An- Nur, Harian METRO AHAD
  • Kolumnis Majalah Iktisad, terbitan Yayasan Muslimin Berhad
  • Ahli Majlis Penasihat Shariah, C & S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands ( Bersama Prof. Dr Monzer Kahf)



Image Hosted by ImageShack.us

Bank dan institusi kewangan yg menjalankan sistem perbankan dan kewangan Islam di Malaysia

1. Affin Islamic Bank
2. Al-Rajhi Bank

3. Alliance Islamic Bank
4. AmIslamic Bank
5. Bank Islam
6. Bank Muamalat
7. Bank Rakyat

8. BSN Perbankan Islam
9. CIMB Islamic
10. Citibank Islamic Banking
11. EONCap Islamic Bank
12. Hong Leong Islamic Bank
13. HSBC Amanah

14. Kuwait Finance House
15. Maybank Islamic Banking
16. OCBC Islamic Banking
17. Public Bank Islamic Banking

18. RHB Islamic Bank
19. Standard Chartered Islamic Banking

*Sumber: Bank Negara Malaysia & iplanner.org


"Sokonglah sistem perbankan & kewangan Islam"-




Sunday, October 7, 2007

Lokasi "Orang Jelai"


View Larger Map
Lokasi "Orang Jelai" oleh GOOGLE EARTH



Zoom map, hybrid atau satelite untuk lokasi yang lebih jelas.

Friday, October 5, 2007

Sejarah Silat Gayong Pak Meor






Dato' Meor Abdul Rahman

Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden, Taiping, Perak. Bondanya bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al – Attas. Hasil perkongsian hidup dengan Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah Tambah, mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Saadiah. Meor Abdul Rahman mempunyai 3 orang saudara perempuan seibu dari perkahwinan bondanya yang terdahulu iaitu Alin, Putih dan Hendon. Sebelum dilahirkan, bonda beliau telah bermimpi didatangi satu lembaga yang mengkhabarkan anak kandungannya akan menjadi seorang pahlawan yang gagah berani. Meor Abdul Rahman dilahir berkembarkan seekor cacing.

Kembar beliau tersebut setelah dibersihkan disimpan dalam sebuah tempurung kelapa jantan, kemudian ia dihanyut ke laut melalui Teluk Kertang, Matang, Perak. Menurut kata bondanya, kelahiran sedemikian adalah petanda awal bahawa Meor Abdul Rahman akan menjadi seorang pendekar yang terbilang.

Apabila meningkat remaja, keluarga Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Asam, Taiping. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan persekolahan menengah di Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh Trade School seterusnya di Technical School di Ipoh sehingga tahun 1936.

Beliau menuntut ilmu persilatan dengan nendanya sendiri iaitu Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Sejak kecil beliau sering mendengar kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari nendanya. Selama lebih 2 tahun, Meor Abdul Rahman menjalani latihan intensif setiap hari siang dan malam. Tempoh tersebut dikira terlalu lama berbanding rakan – rakan beliau yang khatam bersilat hanya menuntut beberapa bulan sahaja seperti di Changkat Jering dan Batu Kurau. Ini mengakibatkan beliau sering diejek dan dipersenda umpama buah yang tidak masak oleh rakan – rakan sebaya. Apabila persoalan demikian dikemuka oleh bondanya kepada Syed Zainal al – Attas, jawapan yang diberi ialah cucunda beliau akan dikhatam oleh orang ghaib pada suatu masa di suatu tempat di sempadan Kedah dan Siam.

Sejak dalam persekolahan menengah lagi, Meor Abdul Rahman sering berulang – alik ke rumah kandanya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah. Beliau amat rapat dengan Hendon dan suaminya Zainal Abidin yang ketika itu bertugas di Balai Polis Kota Sarang Semut sebagai seorang inspektor.

Setelah tamat persekolahan dalam tahun 1936, beliau menetap bersama kandanya, Hendon. Beliau telah dijodohkan dengan anak angkat kandanya yang bernama Che Kalsom bte. Kechik. Perkahwinan tersebut dilangsungkan di Kota Sarang Semut. Apabila kanda iparnya, Zainal Abidin dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis serta dilantik sebagai Ketua Polis Daerah di Kuala Nerang, Kedah, Meor Abdul Rahman telah samam – sama berpindah dan menetap dengan kandanya di sana. Sepanjang berada di Kuala Nerang, beliau sering berkongsi hobi memburu burung dan ayam hutan dengan Pegawai Daerah Kuala Nerang iaitu Tengku Nong, cucunda Sultan Abdul Hamid Halim Syah.

Pada suatu hari, beliau telah keluar berburu bersama – sama kandanya Meor Abdul Abdul Aziz dan seorang sepupunya bernama Bidin di Kuala Dang, Ulu Kedah. Ketika leka berburu di dalam hutan tersebut, beliau tersesat sehingga ke Padang Sanai. Di sana, beliau telah berkenalan dengan Pak Choh dan Tok Mek Jah, sepasang suami isteri penjual burung yang ditemui di Pekan Rabu. Atas permintaan Meor Abdul Rahman, mereka telah membawa beliau ke Mee Nam, Selatan Thailand. Apabila tiba di rumah Pak Choh di Mee Nam, beliau meminta izin untuk mandi di sungai di kawasan tersebut. Semasa terlelap di atas sebuah batu besar berwarna hitam di tepi sebatang sungai, suatu lembaga yang berpakaian segak seperti hulubalang zaman kesultanan kerajaan Melayu Melaka telah menjelma dalam mimpi beliau. Beliau diarah oleh lembaga tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Hang Tuah mengadap Sultan yang memerintah negeri Perak untuk menyembah taat setia. Apabila tersentak dari tidur, beliau terasa ada perubahan pada dirinya bagaikan diresapi kegagahan yang luar biasa.

Setibanya di Taiping, beliau telahmenceritakan detik pengalaman tersebut kepada ahli keluarganya. Atas nasihat Syed Zainal, Meor Abdul Rahman pergi mengadap Paduka Seri Sultan Alang Iskandar yang sedang bersemayam di Manong, Perak. Beliau dititah untuk menunjukkan kekuatan di hadapan baginda sultan. Pada sebelah malamnya, beliau dititahkan pula mempamerkan kebolehan luarbiasanya di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Setelah berpuas hati dengan kegagahan Meor Abdul Rahman, baginda sultan menggelarkan beliau ‘ Rahman Sendo ’ dan dijadikan anak angkat baginda. Beliau menetap bersama – sama Sultan Alang Iskandar di istana sehinggalah baginda mangkat dalam tahun 1938.

Silat Seni Gayong buat pertama kalinya telah diperkenalkan ialah di Taiping, Perak. Beliau menzahirkan ilmu pusaka dan amanah yang diterima dari Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah di kalangan rakan terdekat. Antara rakan rapat beliau ialah Wan Noh bin Haji Ismail, Wan Man bin Haji Ismail, Bakar dan Aziz Khan. Beliau digelar oleh rakan – rakan ‘ Rahman The Strong Man ’. Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Hamid Halim Syah juga pernah mengiktirafkan kebolehan Meor Abdul Rahman sebagai seorang mahaguru.

Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, beliau ditemani Bidin bermusafir dengan keretapi ke Singapura untuk mencari rezeki di sana. Pekerjaan pertama Meor Abdul Rahman di Singapura ialah di Naval Base sebagai tukang pateri. Setelah 6 bulan bekerja di sana, beliau telah ditawar pekerjaan oleh Pengarah Pendidikan Singapura berkhidmat dengan pasukan tentera British di bahagian Royal Signal Corps. Pada sebelah malamnya, beliau menambahkan pendapatan dengan bekerja sebagai seorang mekanik di jabatan yang sama.

Setelah beliau berjaya menewaskan seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong di Gillman Barrack, Mejar Malburn telah melantik beliau sebagai jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan tentera British. Ia merupakan satu penghormatan kerana tiada seorang Melayu pun diberi tugas tersebut sebelum itu. Beliau berkhidmat dalam pasukan ini sehingga tahun 1942. Semasa berkhidmat di Bahagian Signal Corps, pada bulan November 1941, beliau telah melangsungkan perkahwinan kedua dengan anak sepupunya, Paridah bte Yusope.

Apabila Jepun menyerang Singapura pada bulan Februari 1942. Beliau membawa keluarganya berperahu menyeberangi lautan api ke Pulau Sudong. Setelah berjaya menewaskan Wak Kusang, pendekar Pulau Sudong barulah mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana. Pada 17 haribulan Februari 1942 jam 2.00 petang, seramai 7 orang pemuda Pulau Sudong diperlimau sebagai murid Gayong. Mereka ialah Naning bin Mat, Ahmad Arshad bin Haji Hassan, Sabtu bin Likur, Yusof bin Rantau, Osman bin Timpong, Mustapha bin Bengkok dan Bendol bin Benggol. Mereka ini terpilih untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun yang ingin merampas gadis Pulau Sudong untuk dijadikan pemuas nafsu ganas mereka. Atas kebijaksanaan Meor Abdul Rahman, penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera Jepun.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Meor Abdul Rahman pernah ditangkap kerana mencederakan sekumpulan tentera Jepun yang cuba memperkosa isteri pertamanya, Che Kalsom. Beliau kemudiannya dibebaskan setelah sekumpulan pegawai penjara Jepun berjaya ditewaskan dalam satu pergaduhan. Bagi mengelak ancaman tentera Jepun, beliau terpaksa menerima tawaran bekerja sebagai seorang kempetai. Tidak berapa lama kemudian, beliau telah berkahwin dengan Syarifah Rehan bte. Syed Chik. Perkahwinan tersebut hanya berkekalan

selama sebulan sahaja sebagai memenuhi hajat keluarga semata – mata. Apabila Jepun menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu dalam tahun 1945, Meor Abdul Rahman telah kembali semula ke Singapura. Setibanya di Singapura, beliau telah diundang menjadi penghulu oleh penduduk Pulau Sudong di sana.

Pulau Sudong telah dijadikan pusat perkembangan Silat Seni Gayong sehingga ia merebak ke pulau – pulau berhampiran seperti Pulau Seking, Pulau Bukum, Pulau Sebaruk, Pulau Sekijang, Pulau Sembilan, Pulau Semakom dan Pulau Damar. Meor Abdul Rahman juga telah menggunakan Silat Seni Gayong untuk menyelamatkan ancaman lanun di perairan pulau tersebut. Dari pulau ini, Silat Seni Gayong tersebar ke lain – lain pulau di Indonesia. Tidak lama selepas itu, kerajaan British telah melantik beliau sebagai penghulu besar merangkumi kepulauan sekitar Pulau Sudong.

Dalam tahun 1947, Kerajaan British telah menawarkan jawatan sebagai pegawai di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Beliau ditugaskan untuk mengawasi dan menangkap pemimpin politik Melayu yang meniupkan semangat anti – British. Peluang ini diambil oleh beliau untuk menyalur maklumat sulit kepada pejuang – pejuang kemerdekaan seperti Sardon bin Jubir, peguam dan tokoh politik terkenal di Singapura. Setelah 4 bulan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, beliau memohon bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah. Pada mulanya beliau ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan penipuan. Kemudian beliau ditukar pula ke Bahagian Kepolisian di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat sarjan. Pada 23 haribulan Disember 1947, Meor Abdul Rahman telah dianugerahkan pingat King George IV atas sifat keberanian semasa berbakti kepada masyarakat dan kerajaan Singapura.

Silat Seni Gayong mula berkembang di pulau besar Singapura pada akhir tahun 1949. 7 orang murid pertama yang menjalani upacara Perlimau Tapak ialah Ahmad Sudi, Mansor Fadal, Ustaz Mansor, Sinwan, Joned Hanim, Hosni Ahmad dan Salim. Sinwan, Joned Hanim dan Salim merupakan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Singapura yang terawal menjadi murid Gayong. Pusat Latihan Silat Seni Gayong dalam tahun 1950 – an di pulau besar Singapura ialah di Bakar Sampah. Dalam tahun 1954, kumpulan pertama wanita seramai 7 orang telah memasuki Gayong di Singapura. Mereka ialah Che Kalsom bte. Haji Kechik, Paridah bte. Yusope, Asmah ( isteri Joned Hanim ), Aisyah ( isteri Mansor Fadal ), Rafeah Fadal, Hendon dan Intan.

Pada pertengahan tahun 1950 – an, ramai bintang filem Melayu mempelajari Silat Seni Gayong. Antaranya ialah Jasni Ahmad, Naeng Yatimah, Kasma Booty, P. Ramlee dan A. Rahim. Kemuncaknya dalam tahun 1956, Dato’ Onn b. Jaafar, seorang tokoh politik dan pemimpin Melayu yang disegani telah menjadi murid Gayong. Beliau telah dilantik sebagai Penasihat Agung dan Waris Beradat Silat Seni Gayong.

Pada awal tahun 1957, satu rombongan Silat Seni Gayong dari Singapura yang dipimpin sendiri oleh Meor Abdul Rahman telah mengadakan persembahan di Kelab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah atas undangan Y.A.M. Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim Ibni Sultan Badlishah. Pertunjukkan tersebut telah disaksi oleh DYMM Sultan Badlishah Ibni al – Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Sultan Kedah Darul Aman. Ini merupakan cubaan pertama untuk mengembangkan sayap Silat Seni Gayong di Kedah.

Sebuah akademi silat bernama Sekolah Gayong Woodlands atau Institute of Gayong Woodlands telah ditubuh oleh Meor Abdul Rahman dalam tahun 1959. Akademi ini mengeluarkan Sijil Diploma bagi mereka yang lulus dalam kursus – kursus yang ditawarkan. Antara tenaga yang pengajar yang membantu Meor Abdul Rahman ialah Siti Noor Aisyah bte. Meor Abdul Rahman, Nordin bin Abdul Rahman, Sidek, Abdul Majid bin Omar, Atan dan Abdul Rahman bin Kadir. Akademi ini telah berjaya melahirkan beberapa orang gurulatih semenanjung yang terkenal seperti Abdul Majid Mat Isa, Ramli Ibrahim, Ramli Mat Arof, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Khamsiah M. Ali, Awang Daud dan Ahmad Lazim.

Meor Abdul Rahman bersara dari perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1961 untuk bergiat dalam bidang perniagaan. Silat Seni Gayong mula tersebar luas di Semenanjung Tanah Melayu apabila pada bulan Mac 1963, Meor Abdul Rahman telah membawa keluar bersama – samanya 8 orang gurulatih dari Kedah menjelajah ke negeri – negeri di Pantai Barat, Timur dan Selatan. Mereka terdiri daripada Abdul Majid Mat Isa, Ramli Mat Arof, Awang Daud, Ismail Chik, Ibrahim Abdullah, Mohd Khir Saad, Mohd Desa Din dan Ahmad Lazim. Kumpulan ini dipecah kepada beberapa buah negeri dan digilirkan atas arahan Meor Abdul Rahman sendiri.

Pendaftaran Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan berdaftar telah diluluskan pada 22 hb Oktober 1963. Permohonan tersebut telah dibuat dalam tahun 1962 atas nasihat Dato’ Onn bin Jaafar. Alamat awal pertubuhan ini ialah di rumah seorang murid Gayong bernama Ibrahim di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, Johor. Apabila ibu pejabat pertubuhan berpindah ke Kota Sarang Semut, Kedah dalam tahun 1964, maka Kota Sarang Semut telah menggantikan Woodlands sebagai Pusat Latihan Tertinggi.

Perdana Gayong pertama telah berjaya dianjurkan di Stadium Darul Aman, Kedah dalam tahun 1964. Dalam majlis tersebut, Meor Abdul Rahman selaku Mahaguru Silat Seni Gayong telah dititah oleh Sultan Abdul Halim Muazzam Syah, Sultan Kedah selaku Penaung Gangga Chula Sakti untuk mengajar Silat Seni Gayong kepada seluruh anak – anak muda negeri Kedah.

Pada 31 hb Ogos 1967, seramai 500 orang murid Gayong telah menyertai perarakan sempena menyambut ulangtahun ke – 10 tahun kemerdekaan tanahair. Ini menandakan pengiktirafan besar pemimpin negara terhadap perjuangan dan usaha Meor Abdul Rahman. Berikutan itu, dalam tahun 1969, YAB. Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor telah menyertai Silat Seni Gayong dan menjalani upacara istiadat perlimau di Air Kuning, Taiping. Beliau kemudiannya telah ditabal sebagai Imam Khalifah Silat Seni Gayong Selangor. Seterusnya, ia disusuli pula oleh Tuan Syed Jamalulail, Dato’ Senu Abdul Rahman, Tan Sri Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dato’ Tengku Ahmad Rithaudeen, Dato’ Hamzah Abu Samah, Dato’ Syed Nasir Syed Ismail, Dato’ Syed Nahar Shahabudin dan ramai kerabat Di – Raja, pembesar serta kenamaan negara dan negeri.

Pada akhir tahun 1969, Meor Abdul Rahman mula menetap di Air Kuning, Taiping, Perak. Seterusnya dalam tahun ini juga, sistem tingkatan bengkong dan pelajaran Silat Seni Gayong secara lebih sistematik telah disusun oleh beliau. Dengan bantuan gurulatih kanan, Ahmad bin Lazim dan para dermawan, beliau mula membangunkan Air Kuning sebagai pusat latihan baru dan membina sebuah balai adat. Pada 27 hb Januari 1971, Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Idris Syah Ibni al – Marhum Sultan Alang Iskandar di Air Kuning. Dalam tahun yang sama, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Cora Si Manja Kini yang membawa gelaran Dato’ Paduka oleh KDYMM Sultan Idris Syah atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman ditemani Tuan Syed Jamalulail telah berangkat ke London untuk menziarahi saudaranya di sana. Semasa singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang ke Malaysia, mereka telah ditemui Bruce Lee, pakar senibela diri terkenal. Dalam pertemuan singkat itu, Dato’ Meor Abdul Rahman telah bertukar fikiran dan maklumat tentang senibela diri Melayu dan Cina dengan Bruce Lee. Bruce Lee juga telah mengakui kehandalan Meor Abdul Rahman dan kehebatan Silat Seni Gayong.

Dalam tahun 1972, Dato’ Meor Abdul Rahman diiringi Tuan Syed Idrus al – Haj, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Ahmad Lazim dan Hussin Kaslan mengadap KDYMM Sultan Idris Syah untuk menyembah maklum amanah al – Marhum ayahanda baginda sultan. Baginda sultan pada masa yang sama berkenan untuk menjalani istiadat Perlimau Tapak dan menerima perlantikan sebagai Penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau bergelar Sang Sa Purba. Dalam tahun yang sama, pada 17 hb September, murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan Hari Sang Sa Purba yang pertama. Perayaan ini disambut setiap tahun sehinggalah tahun 1982.

Tahun 1970 – an telah menyaksikan usaha penyatuan pemimpin tertinggi Melayu dan kerajaan dalam Silat Seni Gayong yang dirancang sendiri oleh Dato’ Meor Abdul Rahman. Raja – raja dan para pembesar Melayu juga telah berkenan untuk menaungi pergerakan Silat Seni Gayong hampir di seluruh Tanah Melayu dan Brunei. Pada satu ketika hampir 2/3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada ahli Silat Seni Gayong di bawah pimpinan

YAB. Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Husein selaku Perdana Menteri dan Paduka Imam Khalifah Silat Seni Gayong. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia terbukti menjadi pertubuhan senibela diri terbesar dan disegani ramai. Murid Silat Seni Gayong pada tahun 1976 dianggarkan melebihi 150 000 orang di seluruh negara.

Sehingga akhir tahun 1980 – an, tidak kurang juga tokoh dan pakar senibela asing datang melawat Dato’ Meor Abdul Rahman di Air Kuning dengan tujuan berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan masing – masing. Semua cubaan dan dugaan tersebut berjaya diatasi dengan baik dan berkesan. Tidak kurang juga daripada pelawat tersebut yang memeluk Islam setelah berpeluang bertemu Dato’ Meor Abdul Rahman. Pada saat – saat akhir hayat beliau, Dato’ Meor Abdul Rahman sering berpesan agar murid – murid Gayong kembali bercantum dan bersatu padu. Muda – mudi diseru menuntut bersungguh – sungguh ilmu yang telah diperturunkan kerana ia amat berguna pada suatu masa nanti. Semua murid Gayong ialah pemegang amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab memelihara dan menjaga segala amanah beliau.

Pada tanggal 23 Jun 1991, Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir atas pangkuan anakanda kesayangan dan pewaris beliau iaitu Puan Siti Kalsom di Hospital Pakar, Ipoh, Perak. Semoga Allah menempatkan Pendita Agung Silat Melayu Abad ke – 20 tersebut di kalangan hamba – Nya yang soleh dan dirahmati- Dipetik dari tripod.com

Di kawasan Batu Kurau masih terdapat bekas anak muridnya yang mempunyai sejarah yang hebat dan masih aktif digelanggang. Antaranya ialah Abang zahar(kg. sg. Ara), Pak Long Mi(kg. Pantai Besar) dan ustaz Khalid(SMK Jelai) - "Orang Jelai"

-

My photo
Hakikat,Tarikat,syariat,Ahlil Sunnah Waljamaah,Salafi.hidup menabur bakti..jangan kita terlalu tegang hingga berdenting-denting...jangan kita terlalu kendur hingga berdegar-degar...